2.5 Genetik
Sains genetik mengkaji hukum dan proses berkenaan pewarisan ciri-ciri tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
Bahan genetik sel merujuk kepada kandungan kromosom dalam nukleus sel organisma berkenaan. Setiap kromosom membawa beribu-ribu unit pewarisan organisma yang dikenali sebagai gen. Setiap gen menentukan pewarisan ciri tertentu.
Kajian sains genetik membantu kita memahami bagaimana tanaman dan ternakan mewarisi ciri-ciri tertentu dan ini dapat membantu usaha pembiakbakaan, iaitu suatu proses mengubah dan memperbaiki kandungan genetik tanaman dan ternakan kepada ciri-ciri yang dikehendaki.
Klon pula merujuk kepada sekumpulan tumbuhan yang dibiak daripada pokok induk yang sama melalui cara aseks.

2.5.1 Ciri Tumbuhan Yang Dikehendaki
Matlamat utama pembiakbakaan adalah untuk mendapatkan jenis tumbuhan yang lebih baik daripada yang sedia ada. Ciri tanaman yang dikendaki semasa melakukan pembiakbakaan ialah :
1. Cepat mengeluarkan hasil
Tanaman yang cepat matang memerlukan tempoh masa yang singkat untuk mengeluarkan
hasil. Tempoh matang yang pendek membolehkan penanaman ulangan berganda dilakukan.
Contoh Durian Siam seperti D129 (Chanee), D130 (Kan Yan), dan D131 (Kato) mengambil
masa matang kira-kira 125 hari dari peringkat pengeluaran bunga sehingga peringkat buah
gugur. Klon D99 yang diperkenalkan mempunyai tempoh matang yang lebih pendek iaitu 90
hari sahaja
2. Hasil tinggi
Objektif utama kebanyakan program pembiakbakaan ialah memperkenalkan tanaman baru
yang berupaya mengeluarkan hasil tinggi. Ini kerana lebih banyak makanan perlu
dikeluarkan untuk memenuhi keperluan makanan penduduk dunia yang meningkat.
Contoh benih kopi polihibrid yang dikeluarkan oleh MARDI, iaitu MCL 34, MCL 43, MCL 44
dan MCL 46 (untuk kopi Liberica) dan MCR 09, MCR 10, MCR 11 dan MCR 16 ( untuk kopi
Robusta) mampu mengeluarkan hasil sebanyak 1.7 tan metrik sehektar berbanding 0.75 tan
metrik sehektar untuk benih biasa.
3. Hasil berkualiti
Kualiti hasil tanaman ditentukan oleh kelazatan, kandungan gula dan nutrien yang tinggi
serta warna isi atau bentuk buah ayang seragam.
Pelanggan sanggup membayar harga yang lebih tinggi untuk mendapatkan buah-buahan
yang lebih baik. Contoh durian D 24 dianggap sebagai salah satu klon yang terbaik dan
digemari di pasaran tempatan.
4.Resistan terhadap penyakit dan perosak
Resistan merujuk kepada ciri-ciri tumbuhan atau haiwan yang mampu menangkis atau
menghalang perkembangan patogen dan serangga perosak.
Tahap resistan tanaman terhadap serangan penyakit dan perosak biasanya disebabkan
oleh halangan mekanik tumbuhan seperti duri resin, bulu atau bahan kimia yang tidak
disukai oleh perosak.
Contoh sifat pokok tomato dan kacang soya yang berbulu menyebabkan vector virus seperti
lelompat daundan afid tidak menghampiri tanaman tersebut. Ini secara langsung
mengurangkan penggunaan racun mahluk perosak.


5.Bernilai estetik
Nilai estetik timbul daripada kecenderungan dan citarasa pembeli mengikut ciri-ciri seperti
warna, bentuk atau aroma.
Bau merupakan satu ciri estetika bagi beras wangi keluaran Malaysia MRQ50 yang
mempunyai kualiti standing dengan beras Basmathi.
Buah rambutan berwarna merah seperti R161 lebih digemari oleh penduduk tempatan
berbanding klon R156 yang berwarna kuning.

2.5.2 Kaedah Menghasilkan Varieti Baru
Kejayaan dalam aktiviti pembiakbakaan tanaman membolehkan varieti baru dihasilkan. Langkah-langkah yang perlu dilakukan ialah :
1. Mengenal pasti baka yang berpotensi
Tujuan memperkenalkan tumbuhan yang berpotensi dalam program pembiakabakaan adalah
untuk menyediakan populasi tumbuhan yang pelbagai sifat. Melalui cara mengenal pasti
baka berpotensi, penilaian dapat dilakukan terhadap populasi tumbuhan sebelum memilih
pokok induk yang sesuai.
Jenis tumbuhan yang dikenalpasti termasuk :
• Varieti yang sedang ditanam
• Tumbuhan lain daripada genus yang sama
• Tumbuhan liar yang tumbuh di tempat asal tanaman itu
2. Melakukan pemilihan
Pokok insuk yang sesuai perlu dipilih daripada populasi tumbuhan yang diperkenalkan
sebelum proses kacukan dilakukan.
Pemilihan dilakukan setelah :
• Mengesan sifat yang dikehendaki dalam populasi tumbuhan yang pelbagai sifat
• Membuat penilaian membandingkan prestasi pokok tersebut dengan pokok lain.
Penilaian dijalankan untuk menentukan sifat agronomi yang baik seperti hasil yang tinggi, sifat
hasil yang baik dan kesesuaiannya dengan kawasan penanaman.
3.Melakukan pengacukan
Pengacukan dilakukan untuk menggabungkan bahan genetic daripada dua pokok induk. Hasil
Pengacukan antara pokok induk ini dikenali sebagai hybrid. Anak pokok yang dihasilkan kini
Mempunyai kombinasi baru bahan genetik.
Kini terdapat teknik lebih moden yang menggunakan bioteknologi, khasnya kejuruteraan
genetik, untuk melakukan pengacukan.
4. Menguji generasi F 1
Pokok F 1 anak pokok generasi pertama ialah anak pokok dihasilkan daripada penggabungan
bahan genetik kedua-dua pokok induk secara kacukan.
Anak pokok generasi F 1 yang mempunyai prestasi lebih baik daripada kedua-dua pokok
induknya dijadikan punca biji benih untuk penanaman secara meluas.
Menguji anak pokok generasi F 1 merupakan amalan asas pembiakbakaan. Pengujian
dilakukan berdasarkan sifat tertentu seperti daya pengeluaran atau resistan terhadap
penyakit. Hasil yang diperoleh kemudian dibandingkan dengan anak pokok yang lain. Anak
pokok yang berpotensi dikenal pasti dan digunakan untuk langkah pembiakbakaan
seterusnya.


2.5.3 Pembiakan
Pembiakan dilakukan untuk memperbanyakkan tumbuh-tumbuhan yang dikehendaki. Tanaman yang diperlukan untuk pertanian dapat dibiak melalui cara seks atau aseks. Kaedah yang digunakan bergantung kepada ketersediaan bahan menanam serta kos untuk mengeluarkan bahan penanaman.

Kaedah seks
Pembiakan cara seks melibatkan penghasilan biji benih pendebungaan. Selepas itu proses persenyawaan berlaku dalam ovari bunga untuk menghasilkan biji benih.

Biji benih
Biji benih merupakan ovul matang yang terkandung di dalamnya embrio dan simpanan makanan.
Contoh tanaman yang ditanam melalui biji benih ialah jagung, langsat, sayur-sayuran dan manggis.
Cara pembiakan menggunakan biji benih mudah dilakukan kerana:
• Kuantiti biji benih yang banyak
• melibatkan kos yang paling rendah

Kaedah aseks
Pembiakan cara aseks melibatkan penggunaan bahagian-bahagian tampang tumbuh untuk menghasilkan pokok baru.

Keratan
Keratan sesuai digunakan untuk memperbanyakan jenis tumbuhan. Cara ini cepat dan mudah dilakukan. Bahan penanaman yang dihasilkan lebih seragam dan keratan mudah dikendalikan. Bahagian batang, daun dan akar boleh dijadikan keratan.
Kebanyakan pokok bedar jarang dibiak melalui keratan batang kerana mempunyai sistem akar yang kurang mencengkam dengan kuat.

Tut
Tut juga dikenali sebagai markot. Ia merupakan satu kaedah mengakar dahan yang masih melekat pada pokok induk. Akar adventitius didorong tumbuh daripada keratan. Tut boleh dilakukan kepada pokok hiasan seperti pokok puding dan pokok buah-buahan seperti limau, ciku, jambu air dan jambu batu.
Masalah utama kaedah tut ialah bilangan bahan tanaman adalah terhad dan tidak sesuai dilakukan pada dahan tua. Oleh itu tut hanya sesuai sekiranya cara lain sukar dijalankan.

Cantuman
Cantuman ialah teknik menyatukan bahagian-bahagian tumbuhan supaya ia tumbuh sebagai satu tumbuhan baru.
Bahagian tumbuhan yang menjadi bahagian atas cantuman dinamakan tunas baka dan bahagian yang membentuk bahagian bawah atau akar dinamakan pokok penanti.
Pokok penanti yang dipilih mestilah subur dan sihat. Kayu mata tunas mestilah juga sihat dan segar. Cantuman tidak akan berjaya jika mata tunas dan pokok penanti tidak serasi.
Satu lagi teknik cantuman ialah cantuman baji. Ia telah diamalkan untuk beberapa jenis tanaman seperti manggis, ciku dan durian.
Perbezaan kaedah cantuman dengan kaedah tut
Kaedah Cantuman Kaedah Tut
• Baka yang diperlukan diambil daripada mata tunas atau keratan pucuk pokok terpilih
• Cantuman tunas membolehkan lebih daripada satu mata tunas diperoleh • Sebahagian daripada dahan pokok terpilih didorong untuk mengeluarkan akar sebelum diasingkan daripada pokok induk
• Satu bahan penanaman sahaja diperoleh daripada bahan yang dirawat

Organ penyimpanan
Tumbuhan menggunakan struktur seperti daun, batang dan akar sebagai organ penyimpanan makanan. Contohnya bebawang, stolon, rizom dan umbisi adalah organ penyimpanan yang diubahsuai daripada batang tumbuhan.
Cara membiak dengan menggunakan bahagian-bahagian tumbuhan itu adalah terhad kerana tidak banyak pokok boleh dihasilkan apabila struktur itu dibahagi-bahagikan.

Pembahagian rumpun
Kaedah pembahagian rumpun dilakukan untuk membiak tumbuhan yang mempunyai rizom, stolon dan ubi-ubi akar.
Melalui kaedah ini rumpun dikeluarkan dan bahan tanaman yang sesuai sama ada stolon, rizom atau bebawang diasingkan mengikut saiz yang sesuai.
Rizom dan stolon biasnya ditanam dalam alur yang cetek sementara bebawang ditanam dalam lubang yang cetek.

Kultur tisu
Kultur tisu ialah kaedah membiak tanaman di dalam medium akar dan persekitaran buatan dalam keadaan steril iaitu tanpa mikroorganisma. Pokok yang terbentuk melalui kultur tisu disebut klon. Tisu yang dikultur kebiasaannya merupakan tisu seragam yang dinamakan kalus.
Pembentukan sel-sel baru diaruhkan di dalam medium tertentu. Pembentukan pucuk dan akar diaruh menggunakan medium yang mengandungi pengawalatur auksin dan sitokinin.
Tisu eksplan diambil dari sel yang aktif seperti sel meristem. Tisu ini perlu disterilkan dengan merendamnya dalam larutan netrium hipoklorit. Selepas itu eksplan dicuci dalam air suling yang disteril.
Seterusnya eksplan itu di masuk ke dalam bekas yang mengandungi cecair steril. Medium cecair steril itu mengandungi air, mineral, vitamin, gula dan sedikit auksin.
Berikutnya kerja memindahkan tisu dilakukan dengan menggunakan alat khas seperti kotak beraliran laminar dalam bilik yang bebas daripada pencemaran agen penyakit. Kemudian eksplan digoncang dalam bekas pada kadar tertentu selama beberapa hari untuk meleraikan sel-sel kalus.
Kepingan-kepingan kalus dikeluarkan dan disusun di atas medium pepejal steril di bawah cahaya. Setelah pucuk terbentuk, ia dipindahkan ke medium pepejal baru untuk menggalakkan pembentukan akar.
Anak pokok kemudiannya dipindahkan ke pasu yang mengandungi medium steril denganberhati-hati dan diberi penjagaan rapi. Setalh besar tumbuh-tumbuhan itu boleh di alih ke ladang.
Kultur tisu sesuai untuk orkid bagi mengatasi peratusan percambahan biji benih orkid yang rendah.

No comments:

Post a Comment