Sifat Kimia Tanah

pH Tanah
Tanah tropika biasanya bersifat asid kerana mengalami larut resapan keterlaluan kesan hujan lebat. pH tanah merujuk kepada keasidan sesuatu larutan dan ditentukan oleh kepekatan ion hidrogen (H+) pH tanah dapat ditentukan dengan
a. kaedah Kuhn
b. meter pH

Tujuh Faktor Yang Mengubah Keasidan Tanah
a. Kandungan bahan induk
Banyak jenis tanah di Malaysia berasal daripada batu granit. Batu granit mengandungi
mineral seperti kuarza, feldspar dan mika yang mengandungi aluminium. Aluminium
mengalami tindak balas hidrolisis dalam tanah lalu mengeluarkan ion hidrogen yang dapat
menurunkan pH tanah
b.Kehilangan bahan berbes
Pengeluaran bahan kation berbes seperti magnesium (Mg2+), kalium (K+) dan kalsium (C+)
melalui larut lesapan menyebabkan penurunan pH tanah. Kation berbes ini. Kation berbes
yang larut ini akan digantikan oleh ion hidrogen (H+).
c.Pereputan bahan organik
Apabila bahan organik mereput, pelbagai jenis asid organik yang akan merendahkan pH
tanah.
d.Penggunaan baja seperti ammonium sulfat
Apabila baja ammonium sulfat dicampur dengan tanah, ion ammonium, (NH+) akan
dioksidakan kepada ion nitrat (NO3_) dan ion hidrogen (H+) melalui proses nitrifikasi. Ion H+
akan menurunkan pH tanah.
e.Penambahan asid karbonik dari atmosfera
Karbon dioksida bertindak balas dengan air di atmosfera lalu membentuk asid karbonik. Asid
akan menurunkan pH tanah.
f. Respirasi akar dan organisma tanah
Respirasi akar dan organisma tanah akan menghasilkan karbon dioksida. Gas ini akan
bertindak balas dengan air lalu menghasilkan asid karbonik.
g. Penghasilan gas nitrogen dioksida dan nitrogen oksida
Kedua-dua gas ini dihasilkan daripada tindak balas kilat yang mengabungkan gas nitrogen
dan oksigen di atmosfera. Gas-gas ini dapat bertindak balas dengan air lalu menghasilkan
asid nitrik.

Kesan pH Tanah Kepada Tanaman

Ketersediaan Nutrien
Nilai pH tanah mempengaruhi ketersediaan nutrien. Nutrien lebih mudah larut dalam larutan tanah pada pH tertentu. Ini memudahkan nutrien diambil oleh akar tumbuhan. Nilai pH terlalu rendah akan menyebabkan pembebasan ion ferum dan ion aluminium. Pada pH yang terlalu tinggi pula, ion kalsium dan ion magnesium akan dibebaskan. Keempat-empat ion tersebut bertindak balas dengan fosfat lalu membentuk sebatian fosfat yang tidak larut. Keadaan ini menyebabkan fosfat kurang tersedia dalam tanah apabila pH terlalu rendah atau terlalu tinggi.

Aktiviti Mikrob
Kebanyakan mikroorganisma yang bermanfaat kepada tumbuhan hidup dalam julat pH 5.5 hingga 7.8. Mikroorganisma yang menjalankan proses penitratan akan terjejas apabila pH tanaha dalah di bawah 5.5. pH tanah yang rendah juga akan merencatkan aktiviti cacing tanah.

Penyakit Tumbuhan
Patogen merupakan penyebab penyakit. pH tanah yang rendah akan menyebabkan :
• Patogen seperti kulat mudah membiak
• Tumbuhan sukar memperoleh nutrien yang diperlukan
• Pertumbuhan akar terjejas apabila pH terlalu tinggi atau rendah.

Unsur Perlu Untuk Pertumbuhan Tumbuhan
Sesuatu unsur nutrien dianggap perlu jika
a. tumbuhan tidak dapat membesar dengan sempurna tanpa unsur tersebut
b. tindakan unsur nutrien adalah spesifik dan tidak dapat diganti dengan unsur lain
c. unsur nutrien tersebut bertindak secara langsung dalam tumbuhan. Unsur ini tidak mempengaruhi penyerapan unsur lain.
d. apabila tumbuhan kekurangan sesuatu unsur nutrien tambahan, unsur tersebut akan memperbaiki keadaan kekurangan yang berlaku
Nutrien-nutrien yang diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan dapat dibahagikan kepada makronutrien dan mikronutrien. Makronutrien diperlukan dalam kuantiti yang banyak, sementara mikronutrien diperlukan dalam kuantiti yang sedikit sahaja.

No comments:

Post a Comment